SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan bantuan kepada 320 keluarga di Endau, Mersing melibatkan beberapa kawasan penempatan berhampiran, hari ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Baginda, memberitahu Sultan Ibrahim amat menitikberatkan kebajikan rakyat, di mana bantuan makanan disampaikan secara berterusan kepada golongan memerlukan di seluruh daerah di negeri itu.
Bantuan makanan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) disampaikan wakil Sultan Johor, Mejar Cina Datuk David Wong kepada Pentadbir Tanah Daerah Mersing, Muhammad Shahril Azizi Abd Gapar, yang mewakili Pegawai Daerah Mersing.
“Muhammad Shahril Azizi turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan bantuan makanan kepada golongan memerlukan di kawasan Endau,” tulis kenyataan itu.
Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan mengurniakan bantuan makanan kepada 146 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent Johor Bahru yang terdiri daripada keluarga B40. – Malaysiapost

