VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang diperkenalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) ternyata sangat membantu golongan terjejas berikutan wabak Covid-19.
Beliau berkata, ketika ia mula dilancarkan pada 2017 sebelum dilaksanakan pada 2019, ada ‘suara-suara’ yang menentang cadangan berkenaan.
“Ketika ia mula dilancar dengan potongan bulanan bersama sumbangan pekerja dan majikan kepada PERKESO, ada juga kedengaran suara-suara penentangan.
“Biasalah tu. Asyik dikenakan potongan gaji walaupun ianya tidak lebih dari belanja sebotol air mineral sehari.
“Manfaat SIP mula dirasai dan dinikmati apabila pencarum PERKESO kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid semenjak tahun 2020,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, sudah menjadi lumarah apabila sesuatu yang memberi manfaat akan ada piahk yang cuba mencari kekurangan untuk dijadikan isu baharu.
“SIP adalah diantara penambaikan perlindungan hak pekerja yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sebelum PRU 14.
“Begitu jugalah dengan gaji minima pekerja. Ianya tidaklah popular sangat dengan kerajaan PH (Pakatan Harapan)kerana Tun Dr Mahathir tidak sependapat agar golongan pekerja mendapat jaminan pendapatan minima,” katanya.
Menurut Shahrir, bagi PH golongan kaya yang menjana ekonomi, sementara gaji minima menjadi rintangan kepada pelabur asing.
“Sedangkan pelabur asing sudah biasa sangat dengan konsep gaji minima di negara mereka sendiri. Prinsip perlindungan pekerja adalah asas penting untuk membangunkan negara sehingga ke tahap negara maju,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, pendekatan BN membahagikan rakyat mengikut tahap pendapatan – B40, M40 dan T20 dan skim bantuan BR1M bertujuan untuk mencapai keadilan sosial bagi kumpulan terbawah dan teramai.
“Ianya – SIP, gaji minima dan BR1M – juga berasaskan kepada keperluan (needs based) bukannya berasaskan kepada keturunan (race based) seperti sentiasa kerajaan Umno dan BN dituduh,” katanya.
Berkuat kuasa Januari 2019, PERKESO melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (Faedah Penuh) bagi menggantikan Bantuan Interim Sistem Insurans Pekerjaan.
Sebelum ini, bantuan interim diberikan kepada pekerja yang hilang pekerjaan dengan kadar tetap iaitu RM600 bagi tempoh maksimum tiga bulan dalam tempoh mencari pekerjaan. – Malaysiapost

