Jika vaksin tidak lewat, ramai boleh selamat – Dr Siti Mariah

0
1

KELEWATAN sehingga tiga bulan untuk menerima bekalan vaksin mungkin antara punca utama jumlah kematian tinggi dalam kalangan golongan muda di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan kelewatan itu membantutkan usaha melaksanakan program vaksinasi Covid-19 lebih awal.

Ini katanya, susulan pembelian vaksin daripada kerajaan Pusat hanya dibuat pada Februari tahun ini.

“Memang betul, kita sudah membayar untuk vaksin seawal Februari 2021 dan sepatutnya mendapat bekalan yang kita tempah 2.5 juta dos dan memang sudah diperuntukkan dan memang sudah ada di dalam simpanannya (pihak ketiga).

“Namun kita tidak dibenarkan lagi atau pembekal tidak dibenarkan untuk membekalkan kepada kita selagi program pusat (PICK) tidak habis, selagi itu tidak dibenarkan.

“Jadi, vaksin kita hanya dilepaskan pada Jun 2021, kita sepatutnya mula lebih awal lagi,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah menambah, kerajaan pusat mengambil langkah awal untuk mengutamakan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.

“Kerajaan Pusat memulakan vaksin dengan petugas barisan hadapan, golongan berisiko tinggi dan warga emas sedangkan orang muda dan pekerja tak dapat.

“Ini saya nak sebut mungkin takdir tapi saya memikirkan sekiranya kita dapat mulakan awal dulu, orang muda terima pada kadar awal dan mungkin sekarang ini kita boleh mengurangkan kadar kematian dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Dewan Negeri (Adun) Banting, Lau Weng San (DAP) yang bertanya sejauh mana kelewatan pembekalan vaksin Covid-19 ke Selangor berpunca daripada pihak ketiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here