Pena Komrad
LA victoire appartient au plus persévérant – atau dalam bahasa Melayunya, “kemenangan adalah untuk orang yang tidak pernah mahu mengalah” adalah kata-kata hikmat dari seorang jeneral terkenal dari Perancis, Napoleon Bornaparte, benar-benar digambarkan dalam sifat Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.
Memulakan kariernya dalam politik apabila menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1978, menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1993, sehinggalah mula-mula menjadi Ahli Parlimen Chenderoh pada tahun 1995, beliau menjadi Ahli Parlimen Padang Rengas sejak 2004 apabila penjajaran sempadan kawasan parlimen oleh SPR pada tahun tersebut, Nazri Aziz merupakan nama yang tidak asing lagi dalam politik negara ini.
Merupakan graduan di Lincoln’s Inn dalam bidang undang-undang, Nazri Aziz pernah menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Undang-undang dari tahun 2004 hingga 2013, dan telah melakukan banyak perubahan dalam sistem perundangan di negara ini.
Antaranya ialah menghapuskan undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2012, dan memberi kebebasan kepada media pada era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta melicinkan urusan perundangan tetapi memperkukuhkan Perlembagaan di dalam negara ini.
Sementara kredit dari reformasi perundangan itu diberi kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, Nazri bertindak seperti seorang ‘playmaker’ di dalam melaksanakan semua perubahan tersebut.
Digelar sebagai ‘Chief’ oleh mereka yang rapat dengannya, Nazri mendapat gelaran tersebut bukan dengan begitu mudah, tetapi berdasarkan pengalamannya memimpin Exco Pergerakan Pemuda, menjadi Pengerusi MARA dan menjawat jawatan yang penting dalam kerajaan.
Di bawah pentadbiran beliau selaku Menteri Pembangunan Usahawan pada tahun 1999, beliau memastikan para usahawan mampu berdaya saing serta menangani kesan berlakunya krisis ekonomi Asia 1997-1999 yang sukar itu agar memastikan para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tidak menerima impak yang teruk pada ketika itu.
Selepas itu industri IKS di bawah pentadbirannya terus meningkat prestasinya menjelang tahun 2000, berdasarkan pengalamannya menjadi Pengerusi MARA sebelum itu.
Apabila beliau menjadi Menteri Pelancongan pada tahun 2013-2018, Malaysia menjadi destinasi pelancong antara yang tertinggi di dunia, termasuklah memulihkan industri pelancongan di Pulau Pinang yang menjadi lesu apabila negeri tersebut memberi fokus kepada industri sekitar 90an dahulu.
Walaupun ketika negara diancam krisis politik pada masa beliau menjadi Menteri Pelancongan, namun beliau mampu mengekalkan prestasi dan momentum pelancong yang tiba di negara inysia
Jadi, disebabkan itu, berdasarkan pengalaman dan kemampuannya menangani krisis serta mampu mengubah sistem perundangan, maka Nazri Aziz perlu menjadi seorang Menteri Kabinet yang berpengaruh.
Nazri Aziz merupakan seorang ‘team player’ dan mengutamakan misi parti daripada kepentingan peribadinya. Contohnya, dalam usaha menggantikan Menteri Besar Perak, Faizal Azumu dari PPBM kepada Saarani Muhammad dari UMNO, beliau yang menggerakkan usaha tersebut untuk menjayakan misi parti.
Chief juga mempunyai track record bahawa kesetiaannya kepada parti mengatasi segalanya, memandangkan beliau berani berdepan dengan bekas bossnya seperti Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad demi mempertahankan parti.
Dan walaupun sering menjadi watak kontroversi dan diserang oleh para netizen dan media kerana tindakannya yang adakalanya tidak konvensional, namun Nazri Aziz ini merupakan seorang yang ‘mission-driven’, dan sanggup berdepan dengan kecaman demi mencapai misi kejayaan parti.
Dengan daya kepimpinan serta pengalaman yang luas baik dalam parti atau dalam kerajaan, Nazri Aziz adalah seperti permata yang sukar dicari ganti oleh UMNO, maka kerana itu, dia perlu untuk menjawat jawatan Menteri Kanan dalam Kabinet Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Masalah utama yang menjadi punca kepada kepincangan politik hari ini adalah kerana ketiadaan pengalaman, terutamanya dari kalangan menteri-menteri PPBM, dan begitu juga dengan kepincangan politik yang berasal dari tidak ada pengalaman oleh menteri-menteri Kabinet pada kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
Pada era Pakatan Harapan dahulu, menteri kabinet dilantik berdasarkan retorik yang mereka keluarkan dan angan-angan yang tidak bersandarkan kepada fakta dan realisme politik dan ekonomi negara, menjadi punca kepada pergolakan politik sehingga tercetusnya Langkah Sheraton.
Maka UMNO perlukan kepimpinan yang berpengalaman seperti Nazri Aziz untuk memastikan negara ini kembali pulih daripada kemelut politik dan ekonomi yang sedang berlaku.
- Penulis adalah salah seorang editor di Malaysipost
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia merupakan pandangan peribadi penulias dan bukanlah pendirian Malaysiapost)

