TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak tidak dibenarkan menyertai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Rabu ini.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 dan masing-masing seorang kontak rapat serta belum menerima suntikan vaksin.
“Semua ADUN sudah melalui ujian calitan semalam dan hasilnya seorang didapati positif Covid-19, seorang kontak rapat dan seorang lagi belum menerima vaksin.
“Maka, ketiga-tiga Adun ini tidak dibenarkan menyertai sidang DUN nanti,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohammad Zahir berkata setakat ini semua Adun sudah divaksin kecuali seorang atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Adun yang belum divaksin itu bukan menolak vaksin, tetapi kerana nasihat MKN dan KKM mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Katanya lagi, dua petugas DUN turut positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri, sekali gus tidak dibenarkan menyertai persidangan.
“Pagi ini, kita terpaksa menyempurnakan angkat sumpah setiausaha dan penolong setiausaha DUN (baharu) kerana penyandang sedia ada positif Covid-19 dan terpaksa melalui proses kuarantin kendiri,” katanya.
Beliau menambah, sidang DUN akan tetap diteruskan menggunakan kaedah gelembung seperti diumumkan sebelum ini.
“Kita guna konsep gelembung dan semua yang terbabit ditempatkan di Hotel Impiana untuk ujian calitan setiap hari sebelum datang ke persidangan,” katanya. – Malaysiapost

