NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan sokongan bersyarat yang dibuat oleh Presiden Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan berunsur ugutan dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu, berkata berdasarkan surat pemakluman memilih calon Perdana Menteri (PM) dari Speaker Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen (MP) yang merupakan arahan dari titah Tuanku menamakan seorang calon tanpa syarat.
“Hari ini saya telah meneliti kenyataan media Pengerusi PN yang menyatakan sokongan 50 orang MP PN terdiri daripada 31 Bersatu, 18 PAS, satu Star dan empat MP bebas yang Pro-PN kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM adalah bersyarat.
“Saya dapati sokongan ini adalah bertentangan dengan titah Tuanku seperti di dalam surat pemakluman dari Speaker dewan Rakyat. Ini bermakna MP PN telah membohongi Agong di dalam surat akuan bersumpah (SD) mereka yang tidak menyatakan syarat.
“Tetapi seperti kandungan kenyataan media dari Pengerusi PN menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berpendapat, jika Ismail Sabri terpilih sebagai PM dan kerajaan yang bakal dibentuk adalah dalam suasana tidak stabil dan aman serta kucar-kacir politik Malaysia akan berulang.
“Oleh itu, satu proses baru perlu dicari oleh Agong bagi menjamin PM yang dilantik nanti adalah dari seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang telah berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri.
“Saya percaya dengan syarat dan ugutan yang dibuat oleh PN kepada Ismail Sabri menjadikan Malaysia sedang dipengaruhi politik peras ugut yang bercorak kumpulan mafia.
“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan Muhyiddin sebagai PM sudah tentu Ismail Sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.
Mahfuz, memohon Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara itu sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia yang tercinta.
Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan menegaskan sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri adalah bersyarat.
Ahli Parlimen Pagoh itu yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Isnin lalu, berkata jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu, beliau hendaklah memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Menurutnya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ahli Parlimen Bera itu juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan. – Malaysiapost

