Kemudahan tambahan dibuka, rakyat diminta terus jaga SOP

0
1
kedai makan restoran

ORANG ramai diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), walaupun kerajaan telah membuka lebih banyak kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pembukaan kemudahan tambahan itu adalah kerana faktor ekonomi dan bukannya keadaan negara ketika ini sudah selamat daripada ancaman Covid-19.

“Peringatan untuk semua, kebanyakan kemudahan tambahan yang dibuka adalah kerana ekonomi dan bukan kerana ianya sudah selamat.

“Tolong ingat untuk sentiasa memakai pelitup hidung dan mulut, dua lapis jika boleh dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap membasuh tangan.

“Jauhi tempat tumpuan ramai dan kawasan yang tertutup,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya kekal selamat dan mendapatkan perlindungan segera melalui vaksinasi.

Terdahulu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bermula esok.

Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan kemudahan tambahan itu bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antara kemudahan tambahan yang dibenarkan adalah makan di kedai atau ‘dine-in’; aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan.

Kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan pula adalah operasi pasar malam dan pasar minggu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here