AHLI Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan surat akuan (SD) mengaitkan namanya dalam menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), menegaskan surat akuan berkenaan yang tersebar di media sosial adalah palsu.
“Sila ambil maklum bahawa gambar surat akuan yang telah disebarkan di laman media sosial ini adalah palsu.
“Saya berasa amat kesal kerana ada pihak tidak beretika yang mengambil kesempatan di atas situasi negara pada masa kini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu dilaporkan GPS kekal dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan pemilihan Perdana Menteri ke-9.
Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kuasa itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan itu peluang Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 agak tergugat jika benar 18 Ahli Parlimen GPS berkecuali. – Malaysiapost

