Warisan sedia sokong Anwar calon PM

0
1
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KETUA Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata parti itu bersedia menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke sembilan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tawaran itu boleh diberi jika Ahli Parlimen Port Dickson itu dapat membuktikan beliau memperoleh angka sokongan mencukupi.

“Warisan akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika Anwar dapat memberikan nombor magik (jumlah sokongan majoriti) dan berharap Pakatan Harapan (PH) memberikan tawaran pula kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika Anwar tidak dapat memperoleh nombor magik itu.

“Minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen dan seperti sekarang ini, pembangkang memiliki 105 Ahli Parlimen, jadi kita kekurangan tujuh lagi Ahli Parlimen,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mohd Azis berkata, kedua-dua pemimpin Warisan dan PKR itu perlu bertemu untuk menunjukkan sokongan masing-masing sebelum nama dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sesiapa yang mendapat (sokongan) tertinggi harus diberi peluang menulis nama mereka di akaun bersumpah (SD), adakah anda mempunyai idea lain?” katanya.

Dalam pada itu, Pemimpin Warisan tidak menolak kemungkinan nama Mohd Shafie turut dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan difahamkan, ia satu percaturan dibuat parti itu serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Berdasarkan senarai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, Warisan memiliki lapan Ahli Parlimen, manakala empat Ahli Parlimen Pejuang.

Jumlah 12 Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang ini, biarpun lebih kecil berbanding parti lain dalam PH, namun ia berupaya mempengaruhi jumlah sokongan kepada Anwar, yang sememangnya mengharapkan mendapat sokongan penuh daripada blok pembangkang.

Difahamkan, PH sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sebelum ini terutama Umno untuk melengkapkan jumlah sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here