Mundur selangkah bukan bererti kalah – Pemuda PN

0
1

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hiba namun reda menerima dan menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata Pemuda PN memohon agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk dapat memastikan segala perancangan digariskan dalam Blueprint Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan jaya.

Pemuda PN katanya, meminta rakyat kekal bersatu hati, bertenang dan mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda PN yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebalik.

“Mundur selangkah bukan bererti kalah. Insya-Allah, parti PN akan bangkit dengan lebih kuat dan bersemangat untuk terus menabur bakti pada bangsa dan negara tercinta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata Pemuda PN merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin dan barisan Kabinet kerajaan PN atas jasa bakti mentadbir, mengemudi negara, menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat sepanjang tempoh krisis kesihatan dan ekonomi yang amat mencabar ini.

Beliau bagi pihak Pemuda PN turut mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19 serta penjawat awam yang memberi kerjasama sepenuhnya melaksanakan dasar diputuskan kerajaan terdahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here