‘Anwar calon PM’ – Mahfuz

0
1

NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar akan menghantar surat akuan (SD) menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kesembilan esok.

Mahfuz berkata, ia sebagaimana keputusan yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya baru dapat surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat tentang arahan untuk membuat SD memilih calon Perdana Menteri kesembilan.

“Saya akan hantar SD itu esok,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut beliau, Amanah tidak mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan pilihan calon Perdana Menteri kerana mesyuarat mengenainya telah diadakan lebih awal iaitu sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Mengulas spekulasi bahawa Anwar yang juga Pengerusi PH telah mendapat angka sokongan mencukupi daripada beberapa parti dan ahli Parlimen fraksi Perikatan Nasional (PN) untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu, Mahfuz berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

“Tapi yang penting kita nak Datuk Seri Anwar jadi Perdana Menteri dan ia adalah calon Perdana Menteri pilihan Amanah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, keputusan hasil pertemuan ketua parti dengan Yang di-Pertuan Agong masih belum diketahui.

“Saya masih belum mendapat maklumat mengenainya,” katanya.

Hari ini, semua ketua parti politik dipanggil untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Amanah diwakili Presidennya, Mohamad Sabu menghadiri pertemuan itu selain Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan pemimpin-pemimpin parti lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here