AHLI Parlimen diberi masa hingga jam 4 petang esok untuk menyerahkan surat akuan bagi menamakan calon Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu dinyatakan menerusi notis yang dihantar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen hari ini.
Menerusi notis berkenaan, Azhar memaklumkan, surat akuan yang diserahkan itu hendaklah menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-9.
Azhar menjelaskan, walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia mesti mengandungi butiran termasuk identifikasi Ahli Yang Berhormat, identifikasi seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat yang diber kepercayaan, pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.
Selain itu, surat akuan itu juga hendaklah, disertakan tandatangan Yang Berhormat, tandatangan serta cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan terbabit.
“Surat akuan Yang Berhormat hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya pada Rabu, 18 Ogos sebelum jam 4 petang, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Amin.
“Serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan pihak Istana Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan juga untuk mengelak penularan pandemik Covid-19,” katanya menerusi notis itu.
Dalam pada itu, Azhar berkata, setiap surat akuan Ahli Parlimen yang tidak mematuhi perkara ditetapkan atau yang diterima lewat tidak akan diterima.
“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan apabila pemimpin parti-parti politik dijangka menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Difahamkan, majlis menghadap bermula pada 2 petang itu melibatkan ketua parti susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semalam.
Antara yang dijadual menghadap adalah presiden parti masing-masing iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang). – Malaysiapost

