TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat agar tidak khuatir kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menempah lebih 87 juta dos vaksin Covid-19 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion.
Justeru beliau berharap pelaksanaan program vaksinasi yang sedang berjalan tidak akan terganggu.
“Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.
“Jangan bimbang, Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit.
“Jumlah ini lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.
Muhyiddin berkata, rakyat tidak perlu risau kerana keperluan dos vaksinasi telah dipesan lebih daripada mencukupi untuk semua rakyat Malaysia.
Jelas beliau, sekiranya program vaksinasi berjalan dengan baik, negara akan mencapai imuniti kelompok pada akhir Oktober depan.
“Saya harap pemerintah baru yang mengambil alih pentadbiran negara ini akan menjaga anda semua kerana ini adalah satu-satunya perkara yang saya sayangi. Saya sentiasa menjaga anda semua,”ujarnya.
Pada masa sama, katanya, beliau sentiasa prihatin dengan nasib rakyat kerana menganggapnya seperti anak-anak sendiri.
Maka, katanya, beliau amat menekankan bahawa kebajikan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan PN, iaitu sebuah kerajaan yang prihatin rakyat.
“Saya optimis negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat. Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.
“Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

