Nurul Huda Abhar
DATUK Seri Hishammuddin Hussien mengakui tidak mudah baginya menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Luar Negeri ketika seluruh dunia kini dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, cabaran pandemik maut itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk meneruskan amanah yang diberi.
“Hari ini adalah hari terakhir saya berkhidmat memikul tanggungjawab Menteri Kanan Luar Negeri ketika seluruh dunia mengalami pandemik Covid-19 bukanlah satu perkara yang mudah, penuh dengan dugaan dan cabaran.
“Di sebalik segala cabaran tersebut ia sesekali tidak mematahkan semangat saya untuk terus melunaskan tanggungjawab yang diberikan.
“Saya bersyukur dan rasa bertuah diberikan peluang untuk memimpin.
“Tidak mungkin dapat saya sempurnakan tugasan ini tanpa sokongan, dedikasi, semangat profesionalisme dan ketekunan mereka,” kata beliau menerusi video yang dimuat naik dalam Facebooknya, sebentar tadi.
Ahli Parlimen Sembrong itu juga memberitahu tiada noktah dalam perjuangannya dan akan terus berbakti atas apa jua kapasiti.
Hishammuddin berkata, apa yang utama adalah sumbangan demi demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kepada warga Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara tetap cekal, tabah dan kuatkan usaha. Teruskan perkara-perkara yang baik yang telah kita ikhtiarkan bersama.
“Tetapi dalam masa sama jangan teragak-agak untuk memperbaikan apa kelemahan yang ada.
“Akhir kata saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu dan menyusun 10 jari memohon ampun maaf jika ada kekurangan sepanjang saya menggalas tanggungjawab.
“Semoga Allah SWT terus memberkati perjuangan kita demi memartabatkan bangsa, negara tercinta,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah maklum menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, memaklumkan baginda turut memperkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – Malaysiapost

