“Mohon maaf jika ada khilaf sepanjang berkhidmat” – Ismail Sabri

0
1

Nurul Huda Abhar

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa jua situasi yang berlaku perjuangan memerangi Covid-19 terus menjadi keutamaan semua pihak.

Beliau yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menzahirkan penghargaan kerana diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Perjuangan melawan pandemik COVID-19 terus menjadi keutamaan kita semua.

“Satu penghargaan buat saya apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini. Terima kasih untuk semua saya ucapkan,” katanya dalam hantaran Facebook, petang ini.

Ismail Sabri juga memohon maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya ada kesilapan sepanjang beliau bertugas dalam kerajaan PN.

“Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan. Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya.

Kabinet kerajaan PN dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah maklum menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri serta-merta berkuat kuasa hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here