DI sebalik mencatatkan sifar kes baharu Covid-19 semalam iaitu kali pertama sejak wabak melanda negara, perjalanan Labuan disifatkan masih terlalu jauh.
Demikian kata Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari kerana sekeliling pulau itu iaitu di Sabah dan Sarawak kes harian masih tinggi, begitu juga negara jiran Brunei yang mencatatkan kes baharu.
Sambil melahirkan rasa syukur, beliau bagaimanapun meluahkan kerisauan dan ketakutan terutama ia melibatkan tanggungjawab besar untuk memastikan Labuan ke arah wilayah hijau tercapai.
“Tidak ada apa yang boleh dibanggakan dahulu sebab varian Covid-19 boleh tiba bila-bila masa dan hanya menunggu kelalaian kita. Covid-19 masih ada di Labuan, masih ada 68 kes aktif yang dipantau.
“Kemasukan (kes hospital) hari ini (semalam) pun melepasi 500 orang selain tekanan pembukaan ekonomi dan kehadiran warga asing, semua boleh menjadi mimpi ngeri semula untuk kita di Labuan.
“Sedikit kegagalan untuk mempertingkatkan disiplin terhadap norma baharu dan SOP sedia ada bakal mengundang bencana kepada pulau kecil ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, Dr Ismuni berharap angka sifar itu menjadi motivasi untuk semua pihak kekal berdisiplin dan mengamalkan norma baharu dan SOP ditetapkan.
“Untuk mengekalkan (angka sifar), kita tidak ada pilihan mempertingkatkan disiplin tersebut dalam era hidup bersama Covid-19,” katanya lagi.
Susulan tiada jangkitan baharu dicatatkan semalam, kes di Labuan sehingga semalam kekal pada 9,740 kes dengan 149 kematian.
Labuan telah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 4 Ogos lalu, bersama Perlis dan Sarawak. – Malaysiapost

