TIMBALAN Menteri Belia Dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal optimis tiga pingat emas mampu dicapai kontinjen negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Sasaran itu diumumkan Wan Ahmad Fayhsal yang mewakili menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Majlis Pengukuhan Kontinjen Paralimpik ke Tokyo dan Penghargaan Penaja yang diadakan secara maya, semalam.
Wan Ahmad Fasyhal berkata, beliau yakin atlet para Malaysia mampu menggalas cabaran yang diberikan dengan membawa semangat demi Malaysia bagi membawa pulang pingat emas menyamai pencapaian yang telah diraih ketika temasya Paralimpik Rio 2016.
Katanya, kejayaan yang dicapai pada 2016 juga menjadi detik bersejarah dan titik permulaan Malaysia dalam membuktikan kerja keras semua pihak yang terlibat untuk mengangkat sukan para negara di mata dunia membuahkan hasil sejak penampilan sulung negara pada 1972 di Jerman.
“Saya sangat optimis dengan sasaran tiga emas yang diletakkan kepada atlet olahraga, powerlifting, badminton dan memanah. Selain itu, saya berharap atlet sukan lain juga dapat menyumbang pertambahan pingat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penaja kontinjen para Malaysia ke Temasya Olimpik Tokyo 2020.
“Setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada NEUTROVIS, Julie’s Biscuits, Bata, MILO, Groove Grocer, Fleuri Flowers, Inspired Firaz Enterprise, Prima Niaga, Fine Strategy Consulting Company, FWD dan ISN.
“Ayuh rakyat Malaysia, kita sama-sama memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada kontinjen Para Malaysia di Paralimpik Tokyo 2020 yang akan bermula pada 24 Ogos hingga 5 September 2021,” katanya.
Seramai 22 atlet termasuk empat alet wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo yang bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.
Kumpulan pertama kontinjen negara para negara akan berlepas ke Tokyo pada 17 Ogos ini.- Malaysiapost

