Umno tidak mampu berpeluk tubuh lihat ramai terkorban- Ahmad Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan kerana tidak peduli nasib rakyat, tetapi kerana tidak mampu lagi berpeluk tubuh dengan kegagalan demi kegagalan dilakukan kerajaan.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan menarik sokongan itu perlu dilakukan demi rakyat walaupun sedar berdepan tindak balas oleh mereka yang berkuasa ketika ini.

“Apakah Umno perlu berpeluk tubuh selepas menyaksikan begitu banyak nyawa terkorban, jangkitan melarat, ekonomi memburuk?

“Apakah Umno harus tunduk kepada permintaan mereka yang mahu menjaga kedudukan dan jawatan supaya berdiam?

“Saksikan betapa keras tekanan sedang mereka lakukan ke atas Umno sehingga ke tahap memanipulasi undang-undang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Umno ada justifikasi jujur dan benar dalam menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa Ahmad Zahid direstui akar umbi serta majoriti rakyat.

Beliau berkata antara justifikasi itu adalah kerajaan PN gagal menangani pandemik Covid-19; menyalahgunakan Ordinan Darurat; gagal mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen dan gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat.

Ahmad Zahid berkata, PN juga gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat serta gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi, selain memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Tidak benar propaganda mereka konon Umno tidak cuba membantu negara menangani Covid-19 kerana bermain politik kerana bukan sedikit pandangan dan cadangan pernah dikemukakan kepada kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Pandangan dan cadangan bagaimana membendung penularan pandemik serta membantu rakyat dalam kesukaran, tetapi sebahagian besarnya tidak dipedulikan dan natijahnya apa yang berlaku hari ini.

“Hampir 12,000 nyawa rakyat tidak bersalah terkorban dan kes aktif jangkitan Covid-19 sudah lebih 233,000 angkara kegagalan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here