Pengusaha kantin tak mahu tanggung rugi jika sekolah dibuka 1 September

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PERSATUAN Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka dalam masa yang terdekat ini.

PPKSM dalam kenyataan berkata, pengusaha kantin sekolah juga tidak bersedia untuk menanggung kerugian dengan pembukaan sekolah secara bersemuka dalam masa terdekat.

“Operasi kantin sekolah sangat terjejas dan sehingga hari ini, pengusaha kantin hilang pendapatan secara total namun dengan pembukaan sekolah, kami perlu menyedia dan mengeluarkan perbelanjaan bagi menjalankan operasi di kantin sekolah.

“Sudah tentu ini sangat membebankan semua pengusaha kantin. Dengan pembukaan sesi persekolahan, pengusaha kantin perlu mengeluarkan kos-kos perbelanjaan bagi memastikan operasi kantin berjalan dengan baik,” katanya hari ini.

Kenyataan itu berkata, kehadiran pelajar juga dikhuatiri tidak sampai pada tahap sepatutnya kerana kebanyakan ibu bapa takut atau tidak bersetuju untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Katanya, ditambah lagi dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengusaha kantin sehingga tidak dapat menampung kos-kos pengoperasian, malah menyebabkan pelajar tidak minat untuk turun membeli di kantin sekolah.

“PPKSM juga berharap KPM dapat menyemak semula dan menyediakan SOP sesuai bagi diguna pakai di semua kantin sekolah,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata berdasarkan statistik kes harian Covid-19 yang tinggi, maka ketika ini bukanlah waktu sesuai untuk pelajar kembali ke sekolah.

“Dikhuatiri, pembukaan sekolah pada masa ini akan menyebabkan sekolah ditutup semula dalam masa terdekat sekiranya wujud kluster sekolah semasa sesi persekolahan.

“KPM perlu menangguh sesi persekolahan secara bersemuka sehingga situasi Covid19 sudah terkawal,” katanya.

KPM sebelum ini memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here