SEORANG penggali kubur dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan sempena Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H.
Penganugerahan kepada Roslee Ali, 63, penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh, diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ewal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.
“Beliau terlibat dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 semenjak pandemik mula melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Roslee bertugas di tanah perkuburan itu sejak 10 tahun lalu iaitu pada 2011.
Zulkifli turut memaklumkan Anugerah Tokoh Barisan Hadapan adalah kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini.
Seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1443H pula dianugerahkan kepada mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.
Anugerah Tokoh Korporat dianugerahkan kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni; manakala Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif kepada pengacara dan personaliti tv, Ahmad Fedtri Yahya.
Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nur Maisarah Leong Yoke Keen pula menerima Anugerah Tokoh Mualaf.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga penghargaan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus menabur bakti di negara, khususnya Wilayah-Wilayah Persekutuan,” kata Zulkifli.
Beliau menjelaskan penelitian pencalonan adalah dengan mengambilkira sumbangan individu dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuh syiar dan syariat Islam di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan.
Ia dibuat berdasarkan empat kriteria iaitu daya kepimpinan dan teladan; sumbangan kepada masyarakat; sumbangan kepada organisasi; dan sumbangan peringkat negeri. – Malaysiapost

