Pembukaan sekolah mesti berasas data, status jangkitan dan vaksinasi

0
1
Datuk Seri Mohamad Hasan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) diminta mempertimbangkan semula untuk membuka kembali sesi persekolahan pada 1 September ini, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini kerana katanya, bilangan kes Covid-19 dalam negara kini pada tahap yang tertinggi pernah direkodkan yang mana negeri seperti Selangor terus merekodkan jumlah kes sangat tinggi, melebihi 6,000 sehari secara konsisten.

Pada masa sama beliau berkata, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan pula mencatatkan jumlah kes harian yang semakin meningkat secara mendadak.

“Membenarkan anak-anak kita kembali ke sekolah dalam keadaan sebegini bukan sahaja sangat berisiko, tetapi adalah tindakan culas dan tidak bertanggungjawab.

“Apa lagi bila immunisasi ratusan ribu guru masih lagi belum menyeluruh. Kerajaan juga belum lagi melaksanakan immunisasi kepada remaja berumur 12 ke 18 tahun.

“Jika keputusan pembukaan sekolah secara menyeluruh dan secara serentak ini dilaksanakan juga, maka ia secara langsung akan meletakkan sistem kesihatan kita pada tahap kelumpuhan yang serius,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamad meminta KPM berhenti membuat segala keputusan yang akhirnya mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, guru-guru dan keluarga serta masyarakat.

Bagaimanapun katanya, bagi kawasan dan negeri yang berisiko rendah dan mempunyai kadar vaksinasi tinggi, pembukaan sekolah secara berperingkat boleh dipertimbangkan seperti di Perlis, Sarawak serta Labuan.

Bagi negeri lain pula, beliau berkata pembelajaran secara maya mesti diteruskan dan ditambah nilai buat waktu ini.

“Keputusan kementerian mesti disesuaikan dengan data dan kedudukan jangkitan serta vaksinasi. Pendekatan ‘one size fits all’ dalam keadaan yang sangat luar biasa seperti sekarang mesti dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here