
SEBANYAK 497,352 dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara kini 25,863,563 dos.
Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 357,981 dos pada 10 Ogos 2021 dan 465,793 dos pada 9 Ogos 2021.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah penerima dos pertama ialah 16,347,422 individu dan daripada jumlah itu, 9,516,141 individu telah terima dos kedua.
“Mengikut peratusan, 69.8 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 40.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata, seramai 227,506 individu menerima dos pertama dan 269,846 individu lagi menerima dos kedua semalam.
Sementara itu berdasarkan infografik yang dikongsinya, Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan pemberian vaksin tertinggi setakat ini 6,328,798 penerima dos pertama dan 3,570,471 penerima lengkap dua dos. – Malaysiapost
