Zahid persoal kerajaan beri kelonggaran ketika varian berbahaya menular

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sepatutnya melahirkan kebimbangan terhadap ancaman varian berbahaya seperti Delta Plus, Lambda atau varian lain yang telah menular di negara lain sebelum memberi sebarang kelonggaran aktiviti rakyat.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sewajarnya Malaysia tidak berkompromi dalam perkara itu kerana varian sedia ada sudah begitu banyak mengorbankan nyawa rakyat.

“Sebab itu kita berasa bimbang pengumuman kelonggaran itu cuma satu lagi pendekatan populis yang terdesak maka terkurang mengambil kira aspek terpenting.

“Kita juga khuatir kelonggaran diberi kepada pengembara warganegara dan bukan warganegara dari luar negara yang telah lengkap dos vaksin, menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendesak kerajaan menjelaskan perincian mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan rapi bagi melindungi mereka yang diberi kelonggaran dan individu di sekeliling mereka.

Katanya, rakyat tidak lupa jangkitan Covid-19 tetap bertambah meskipun kerajaan telah melakukan penguatkuasaan dan pemantauan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ‘total lockdown’ dan proklamasi darurat.

“Seperti dimaklumkan beberapa hari lalu cuma 65.6 peratus individu dewasa telah terima dos pertama vaksin dan hanya 35.3 peratus individu dewasa lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Perdana Menteri atau Presiden PPBM beri jaminan agensi bertanggungjawab akan mempergiatkan aktiviti pemantauan ke atas kelonggaran diberikan.

“Bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas bagaimana mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan itu akan dipergiatkan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid juga membidas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaku kelonggaran diberi kepada penerima dua dos vaksin pasti mengundang risiko kepada peningkatan kes Covid-19, namun ia tetap diteruskan.

Jelas Ahmad Zahid, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menggesa kerajaan menangguhkan kelonggaran itu sehingga jumlah kes positif berkurangan dengan ketara.

“Kata MMA sebarang keputusan untuk memberi kelonggaran itu perlu disokong bukti saintifik.

“Ia kerana penerima vaksin lengkap dikatakan dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan dan melindungi diri daripada gejala jangkitan yang teruk.

“Bagaimanapun perlu ingat penerima dua dos dikatakan masih boleh menjangkiti dengan kadar kebolehjangkitan kes positif sebanyak 50 peratus.

“Ini bermakna mereka yang belum divaksin berisiko mendapat jangkitan daripada penerima dua dos yang tidak menunjukkan gejala ketika melancong dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here