YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri behawa kerajaan sudah tiada majoriti.
Sehubungan itu, Azhar berkata laporan sebuah portal bertajuk “Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen“ adalah tidak benar.
“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan.
“Berita tersebut adalah berita palsu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu portal Suara.TV menerusi kenyataan di Facebooknya turut menafikan pernah mengeluarkan artikel berkenaan seperti tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial yang lain.
“Adalah dinyatakan, artikel yang tular menggunakan logo Suara.TV adalah palsu dan berniat jahat,” tegas portal tersebut. – Malaysiapost

