
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hasil kajian dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan mengesan 47 kes lagi varian baharu virus Covid-19.
Menurut KKM, kesemua varian berkenaan adalah dikategorikan varian membimbangkan (VOC).
“Ia dikesan antara 6 hingga 10 Ogos 2021 iaitu 46 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 667 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, 4 kes varian Kappa, dan 3 kes varian Eta,” kata KKM menerusi hantaran di Facebook.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan, kes-kes baharu positif Covid-19 varian VOC dan VOI mengikut negeri antara 6 hingga 10 Ogos menunjukkan Selangor mencatatkan kes varian delta paling tinggi iaitu 13 kes.
“Ia diikuti Johor dan Terengganu iaitu lima kes, Putrajaya empat kes, Perak tiga kes serta masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Kelantan dan Kuala Lumpur.
“Sementara, satu kes di Perlis Pahang dan Sabah serta terdapat satu varian Beta di Kelantan, ” katanya. – Malaysiapost
