Sultan Selangor seru umat Islam hayati Maah Hijrah, contohi Rasulullah

0
1

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru umat Islam supaya menghayati Maal Hijrah dengan mencontohi akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW.

Sultan Sharafuddin bertitah, sempena sambutan Awal Muharam tahun baginda menyeru kepada orang Melayu Islam di Selangor memperbaharui azam dan tekad dengan mengubah cara berfikir dan melakukan sesuatu tindakan ke arah mencapai matlamat kecemerlangan di dalam kehidupan.

“Bagi memastikan matlamat kecemerlangan ini tercapai, umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri kita.

“Ini termasuklah sifat hasad dengki dan fitnah-memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain khususnya di media-media sosial, yang boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang,” titah baginda menerusi Facebook rasmi, Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin juga menyeru supaya umat Islam menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran.

Titah baginda, begitu juga sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang juga sifat-sifat orang munafik.

“Beta berharap sambutan Maal Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here