Tidak berputus asa, Jijoy tekad buru emas di Paris

0
1

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bertekad merebut buruan pingat emas acara keirin pada temasya Olimpik Paris 2024 nanti.

Pemenang pingat perak di Sukan Olimpik 2020 itu berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan jurulatihnya, John Beasley terlebih dahulu dalam merangka program latihan menuju ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

“Saya gembira dengan pencapaian ini walaupun saya tidak dapat membuktikan emas, tetapi kita tahu pingat perak juga adalah pencapaian cukup besar bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk negara.

“Sudah pasti perancangan seterusnya adalah untuk beraksi ke Olimpik 2024 Paris. Seperti biasa, kami akan duduk berbincang bersama jurulatih, Beasley untuk merangka semula perancangan.

“Ketika ini, semangat dan keinginan saya masih kuat, malah saya juga tidak mengalami masalah fizikal. Jadi, itulah matlamat saya selepas Tokyo.

“Selepas ini kita akan melihat semula perancangan ke Paris 2024,” katanya dipetik Cakap Sukan.

Azizul bersama kumpulan terakhir kontinjen Malaysia Olimpik Tokyo 2020, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) hari ini.

Beliau dan Shah Firdaus Shahrom, atlet akuatik terjun negara Pandalela Rinong dan atlet golf wanita negara Kelly Tan merupakan antara 28 ahli kontinjen terakhir yang tiba dari Tokyo.

Turut sama dalam penerbangan MH071 ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here