POLIS selesai mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung siasatan perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.
Perkara itu disahkan peguam kedua-dua mereka, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali menerusi kenyataan, hari ini.
Empat pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman telah hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana bagi tujuan merekod keterangan Dr Mahathir dan Mukhriz yang masing-masing wakil rakyat bagi Parlimen Langkawi dan Parlimen Jerlun.
“Kedua-dua mereka memberi keterangan kepada anggota polis berkenaan kira-kira jam 2.45 hingga 3.30 petang tadi.
“Kehadiran pegawai-pegawai polis tersebut adalah berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Malaysiapost

