PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan salam takziah kepada Shuib Sepahtu susulan kehilangan isteri tercinta yang juga penyanyi Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada Shuib dan anak-anak yang hilang tempat berkasih sayang, bermanja dengan seorang isteri atau ibu.
“Innalillahwaiianilaihirojiun. Takziah saya ucapkan kepada Encik Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu atas pemergian isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, yang meninggal dunia akibat Covid-19 awal pagi ini.
“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.
“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” katanya di Facebook, hari ini.
Muhyiddin turut mendoakan semoga ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan ini.
“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah.
“Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.
“Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” katanya.
Allahyarham Siti Sarah, 37,menghembuskan nafas terakhir di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19, jam 5.13 pagi ini.
Pemergian penyanyi itu disahkan oleh Shuib sendiri menerusi laman Instagram.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah yang terpaksa ditidurkan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu, selepas dikejarkan ke hospital Rabu lalu kerana paras oksigen dalam badannya semakin merosot. – Malaysiapost

