‘DURIAN Lenggong’ dan ‘Durian Parit Sulong’ turut ditawarkan kepada Ahli Parlimen PKR baru-baru ini.
Perkara itu diakui oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa dirinya menjadi sasaran penawaran itu.
Menurutnya, mesej berkaitan tawaran durian itu diterima menerusi pesanan mesej WhatsApp, Sabtu lalu.
Beliau pada mulanya melihat notifikasi mesej tetapi tidak sempat membacanya sepenuhnya selepas salah seorang bekas kakitangannya mendapat alert mesej yang sama.
“Saya kemudian membuka mesej itu dan mendapati ada mesej pasal ‘tawaran durian’ dan saya memahaminya maksud tersirat mesej itu kerana ia menyentuh pasal durian Lenggong dan Parit Sulong.
“Kemudian seorang lagi staf saya dapat mesej dari nombor yang sama dan memang ada rancangan tetapi bukannya nak terima tawaran ‘durian’ itu sebaliknya hendak memerangkap penghantar mesej itu namun sudah terlambat kerana ahli-ahli Parlimen lain sudah mendedahkannya kepada umum dan saya fikir sudah pasti individu itu melupuskan mesej itu.
“Ramai sudah mula tanya ia betul atau tidak ‘tawaran durian’ ini, tetapi saya bukan pakar sangat untuk mengesahkannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiagazette.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebaik selesai memberi keterangan mengenai Himpunan pembangkang di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
Nik Nazmi menambah, selepas Langkah Sheraton, beliau menerima tawaran peruntukan kerajaan RM3.5 juta dan pada minggu lalu menerima satu lagi tawaran.
“Tawaran itu adalah membabitkan RM24 hingga RM26 juta dengan syarat saya membawa enam pemimpin lagi dan kali ini untuk tawaran ‘durian’ ia menjadi RM30 juta yang berbunyi ‘datang seorang-seorang boleh makan durian puas-puas’,” ujarnya. – Malaysiapost

