Malaysia catat kadar kematian Covid-19 paling tinggi – Najib

0
1
najib razak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia merupakan negara yang tergolong dalam kelompok paling tinggi kematian akibat Covid-19.

Beliau berkata, semalam Malaysia berada di tangga ke tujuh, paling tinggi jumlah kematian akibat wabak itu tanpa mengambil saiz penduduk.

Katanya, seluruh dunia mencatatkan 8,022 kematian Covid-19 semalam dan Malaysia menyumbang 4.5 peratus iaitu 360 daripada angka itu.

“Lagi seram ialah 85 daripada 360 kematian dicatat semalam adalah Bought In Dead (BID) atau meninggal dunia di luar hospital sebab tidak sempat menerima rawatan.

“Tanpa mengambil kira saiz penduduk, Malaysia terletak di tangga ke-7 paling tinggi kematian Covid dalam dunia semalam,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, berdasarkan jumlah kematian yang direkodkan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengaku kegagalan mereka.

“Jika mengambil kira saiz penduduk, Malaysia bukan lagi antara negara paling tinggi dalam dunia bagi kadar kematian Covid-19, malah negara dengan kadar kematian Covid paling tinggi. Nombor satu.

“Ini data dan sains. Sudah tiba masa untuk kerajaan mengaku gagal. Ini kematian melibatkan nyawa rakyat Malaysia. Satu tragedi yang amat besar sekali,” katanya.

Semalam, sebanyak 360 kematian akibat Covid-19, tertinggi sejak wabak itu melanda negara pada tahun lalu.

Jumlah itu adalah lonjakan yang ketara dari rekod sebelumnya (257) pada empat hari yang lalu.

Jumlah kumulatif korban Covid-19 setakat ini berjumlah 10,749 kematian.

Sementara, untuk rekod tiga negara paling tinggi mencatat rekod kematian iaitu Indonesia paling tinggi iaitu 1,498 kematian diikuti Rusia 787 dan Iran 542 kematian.

Manakala Malaysia berada di belakang Brazil dan India semalam yang masing-masing mencatat jumlah kematian 338 dan 447.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here