
Nurul Huda Abhar
JENAZAH penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Selangor kira-kira jam 1.20 petang tadi.
Pengebumian penyanyi itu dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja, dan dikawal ketat oleh petugas keselamatan yang di berada di perkarangan tanah perkuburan berkenaan.
Cuaca cerah mengiringi upacara pengebumian Siti Sarah, yang hanya diuruskan oleh petugas kesihatan yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).
Terdahulu, jenazah Siti Sarah tiba di pekarangan tanah perkuburan itu pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Jenzah pelantun lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan’ itu ditayamumkan pada jam 10 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan disolatkan pada jam 11.50 pagi di lokasi yang sama.
Beberapa rakan artis dilihat hadir di luar perkarangan tanah perkuburan termasuk Adi Putra, Rebecca Al Islam, Ali Puteh, Rahim Sepahtu dan lain-lain.
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19, jam 5.13 pagi ini.
Pemergian penyanyi itu disahkan oleh Shuib sendiri menerusi laman Instagram.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah yang terpaksa ditidurkan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif sehingga 85 peratus, kelmarin.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari. – Malaysiapost
