“Nazri boleh berubah jadi lawan sekelip mata” – Ahmad Jazlan

0
1

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memberi amaran kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin agar berhati-hati dengan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, ini kerana semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan banyak berjasa serta berbudi kepadanya juga dihina oleh Mohamed Nazri.

“Sebesar mana sangatkah jasa Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) untuk mengawal Nazri dari berubah arah dan menikam belakangnya kembali?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, beliau tiada masalah Mohamed Nazri menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kembali walaupun dahulu bersama-sama menentang Muhyiddin.

Namun, katanya, itu adalah sikap Mohamed Nazri yang boleh menyokong sesiapa sahaja dan boleh berubah menjadi lawan dengan sekelip mata.

“Apa yang saya faham, kemarahan Nazri ini apabila Najib menarik sokongan kepada PN bersama-sama dengan rakan lain pada 3 Ogos,” katanya.

Katanya, beliau juga hadir bersama Najib yang bersetuju untuk memberi sokongan kepada PN tetapi menarik sokongan terhadap Perdana Menteri di atas kebertanggungjawaban beliau terhadap Surat Istana Negara yang jelas murka dengan tindakan Kerajaan tidak mengendahkan untuk Ordinan Darurat dibahaskan sebelum ditolak.

Sebelum ini, Nazri menegaskan beliau tidak akan menjawab surat yang dihantar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan meminta Ahli Parlimen Umno menyatakan pendirian berhubung sokongan terhadap kerajaan PN.

Mohamed Nazri menegaskan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), beliau hanya akan akur dengan keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN.

Ahmad dilaporkan telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen Umno agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis dengan menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.

Menerusi surat itu juga, Ahmad mengingatkan semua Ahli Parlimen Umno agar patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi parti pada 3 Ogos 2021, yang antara lain menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here