DATUK Azizulhasni Awang menitiskan air mata sebak memohon maaf kepada keluarga dan rakyat Malaysia kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas Olimpik pertama buat negara.
Azizulhasni yang menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menduduki tempat kedua perlumbaan final acara keirin sebentar tadi, menjelaskan beliau sudah berusaha melakukan terbaik dan mengharapkan semua pihak tidak kecewa dengan persembahannya.

“Saya sudah buat terbaik untuk semua, untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan negara kita.
“Masa saya kayuh tadi saya teringat dengan anak, isteri, mak dan ayah saya. Saya harap mereka tidak kecewa dengan keputusan hari ini, ” jelasnya dalam nada sebak.
Mengakui perasaannya bercampur-baur ketika ini, Azizuhasni berkata, sudah adat pertandingan dan sukan ada kalah dan menang.

“Pastilah saya berasa sedih sebab memang saya datang sini untuk menang emas. Kita semua tahu memang harapan besar (negara) terhadap saya untuk menang emas.
“Tambahan pula saya hanyalah satu-satunya harapan terakhir Malaysia untuk meraih emas,” katanya.
Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu berkata, beliau tidak dapat memintas atlet dari Britain, Jason Kenny kerana pelumba itu sudah berada jauh di hadapan.

“Ketika itu Jason berada di posisi agak bagus di hadapan dan saya tidak tahu mengapa pelumba Australia buat begitu iaitu membiarkan jarak yang begitu besar sekitar 20 meter.
“Apabila Harrie Lavreysen (Pelumba Belanda) mahu pergi (memecut) ia juga sudah terlambat dan kami hanya mampu melakukan yang terbaik ,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, beliau menempuh pelbagai dugaan dan cabaaran dalam Olimpik Tokyo kali ini, selain menggalas harapan menggunung rakyat Malaysia, ayahnya turut dimasukkan ke hospital kerana ‘mild stroke’.

“Masa saya ‘fly’ ke Tokyo saya dapat tahu ayah saya dibawa ke hospital kerana mild stroke. Namun adik-beradik saya meminta saya untuk fokus terhadap Olimpik,” katanya.
Terdahulu, Azizulhasni menghadiahkan pingat perak buat negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, sebentar tadi selepas menduduki tempat kedua perlumbaan final acara keirin di Velodrom Izu.
Pelumba Great Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.
Untuk rekod, Azizulhasni, 33, sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016. – Malaysiapost
Foto Kredit: Majlis Sukan Negara Malaysia/Annice Lyn

