
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu perancangan untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penganjuran itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Malah, ini juga membelakangkan keselamatan kesihatan dalam senario semasa penularan Covid-19.
“PDRM meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acryl Sani menegaskan, demi keselamatan kesihatan umum, PDRM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini. – Malaysiapost
