Kula Segaran lapor polis dakwa ‘dipancing’ sokong PN

0
1

BEKAS Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mendakwa ditawarkan wang dan kedudukan sebagai menteri sebagai pertukaran jika menyokong pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Ipoh Barat daripada DAP itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan WhatsApp menerusi telefon setiausaha sulitnya, Jeremy Chuah pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata, tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang, kedudukan sebagai menteri, peruntukan penuh kepada konsituensi Ipoh Barat dan insentif-insentif lain.

“Bagi saya keadaan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana tahu PN ketika ini begitu terdesak untuk mengekalkan kuasa hingga sanggup mendekati ahli Parlimen dengan cara begini.

“Apa yang boleh saya katakan, daripada cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen melalui tawaran sebegini, lebih baik mereka mengambil langkah sewajarnya untuk memperbaiki kelemahan dan kegagalan mentadbir kerajaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Laporan berkenaan dibuat Jeremy yang antara lain menggesa tindakan dan siasatan dilakukan ke atas individu terlibat kerana mendakwa tawaran itu mengandungi unsur korupsi untuk membeli ahli Parlimen Ipoh Barat.

Dalam perkembangan sama, Kula Segaran berkata, pendiriannya sama seperti semua 42 ahli Parlimen DAP lain untuk setia kepada parti dan menolak menyokong pentadbiran PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Katanya, dalam keadaan sekarang wang dan kedudukan bukanlah faktor yang boleh mempengaruhi mereka untuk mengkhianati pendirian parti. – Malaysiapost

Kredit Foto: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here