PERDANA Menteri, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membincang dan mempertimbangkan pelbagai aspek dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, mesyuarat MPN itu membincangkan dengan lebih terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar kesihatan serta ekonomi berhubung kadar vaksinasi, status vaksinasi individu dan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Selain itu, turut dibincangkan berkenaan keperluan untuk sektor perniagaan terutamanya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi Facebook.
Beliau juga memaklumkan, mesyuarat kedua itu turut dihadiri oleh Ahli MPN yang terdiri daripada pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial.
Menurutnya, antara yang menyertai mesyuarat itu adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,; Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Michael Kang, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Datuk Seri Wong Chun Wai, Tan Sri Sri Anthony Francis Fernandes, Datuk Dr Hartini Zainudin dan Prof Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam.
Beliau berharap perkara yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan PPN dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. – Malaysia

