TERDAPAT 85 kes positif Covid-19 dikesan berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu disahkan melalui ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Menurutnya, sebanyak 56 kes telah dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat.
“Sebanyak 17 kes pula dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat iaitu sembilan kes telah dilaporkan sebelum ini dan lima kes baharu dilaporkan antara 30 Julai sehingga 5 Ogos lalu serta tiga kes kontak rapat, manakala lapan kes saringan Pra-Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau memaklumkan, setakat ini, enam sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta telah dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.
“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir,” katanya.
Untuk makluman, katanya, daripada lapan kes baharu yang dilaporkan antara 30 Julai sehingga 5 Ogos lalu iaitu lima kes mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT PCR antara 18.00 sehingga 27.68 dan tiga kes dengan CT value antara 35.14 sehingga 37.59 termasuk empat kes mempunyai gejala ringan, manakala yang lain tidak bergejala.
“Selain itu, tujuh kes positif telah mendapat vaksin Covid-19 (sekurang-kurangnya mendapat satu dos);
satu kes adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun (kontak rapat) yang belum layak mendapat vaksin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.
“KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif Covid-19 ini, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi.
“Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Sekiranya bergejala, jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera,” katanya – Malaysiapost

