TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri adalah perkara biasa dan beliau tidak takut atau bimbang untuk menghadapinya ketika sidang Parlimen bulan hadapan.
“Betul, usul undi percaya kepada Perdana Menteri itu biasa dibuat untuk Parlimen tetapi yang harus difikirkan ialah soal situasi dan keadaan semasa.
“Apakah negara boleh hadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan pertukaran dan suasana politik yang nanti kalut? Saya tidak kata saya ramal begitu…yang mungkin boleh jejas ialah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah saya sebut awal tadi, vaksinasi dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabat pentadbiran penghulu mukim Sungai Raya di Muar, hari ini.
Justeru, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan pertimbangan ahli Parlimen mengenai perkara yang sewajarnya mereka lakukan.
Muhyiddin berkata, keputusan untuk mengemukakan undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen telah pun dipersetujui dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya nak nyatakan bahawa saya sudah menghadap Baginda Tuanku yang saya dah maklum pada negara beberapa hari lepas bagi membincangkan soal itu dan ia berlangsung dalam suasana baik dan harmoni hampir sejam.
“Kita bincang banyak perkara antaranya isu soal sama ada saya memiliki jumlah bilangan sokongan yang mencukupi. Saya yakin sehingga hari ini (ada majoriti) walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang kononnya tak menyokong saya.
“Mungkin depan macam itu tapi belakang (mereka) mungkin tak tahu. Ini masalah politik sebab tu Seri Paduka Baginda pun berkenan (untuk bawa ke Parlimen). Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke Parlimen,” katanya.
Rabu lalu, Muhyiddin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. – Malaysiapost

