
AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai menghormati dan mentaati keputusan Umno yang menarik sokongan kepada kepimpinan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) yang sudi melantik saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Sebagai mentaati keputusan Umno yang telah menarik sokongankepada Kepimpinan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga LTAT,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razlan juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan warga kerja LTAT yang selama ini telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya.
“Umno sebagai parti yang menjunjung Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan meletakan keutamaan kepada rakyat tidak akan mensia-siakan nasib rakyat yang sedang diabaikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Selasa lalu, Mesyuarat MKT Umno sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umnomemilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno. – Malaysiapost
