KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengesahkan pertemuannya bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun atas kapasiti peribadi dan persahabatan bukan seperti yang didakwa Ahli Parlimen Muar itu.
Sehubungan itu, Ahmad Fayhsal menafikan sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepadanya.
“Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar.
“Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ amatlah tak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fasyhal berkata, beliau sudah menganggap Syed Saddiq sebagai sahabat, adik serta rakan seperjuangan.
Jadi, katanya, pertemuan itu hanya membincangkan perkara berkaitan bagaimana cara meredakan keadaan politik negara dan usaha penyatuan anak muda.
“YB Syed Saddiq adalah seorang pemimpin belia, mantan Menteri Belia dan Sukan serta mantan Ketua Armada Bersatu, yang masih menjalankan peranan dalam memimpin wacana semasa di kalangan anak muda.
“Justeru, idea yang saya bawakan adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama.
“Ia kerana anak muda membentuk kumpulan terbesar pengundi hari ini, malah lebih separuh daripada keahlian Bersatu,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fasyhal berkata, sekiranya Syed Saddiq yakin bahawa beliau tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran ini.
“Kami akan sentiasa doakan yang terbaik dan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq mendakwa Ahmad Fayhsal memujuknya untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum dia didakwa di mahkamah baru-baru ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau didatangani oleh Ahmad Fayhsal untuk kembali menyokong PN dan Perdana Menteri.- Malaysiapost
Artikel berkaitan:

