
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ATM konsisten membantu meringankan tekanan yang sedang dihadapi KKM ketika ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari.
“Masalah utama adalah apabila kes harian meningkat, kadar ICU dan penggunaan katil di hospital juga bakal meningkat.
“Oleh itu, dengan atur gerak anggota dan aset-aset ATM ini dijangka mampu mengurangkan tekanan pihak hospital serta pusat kuarantin,” katanya di Facebook, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memuat naik video beliau bertemu dengan Panglima ATM Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.
“Bersama Panglima Angkatan Tentera bagi membincangkan isu perairan negara dan peranan ATM dalam penubuhan hospital Medan ATM.
“Komitmen ATM serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain juga akan diteruskan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi, seterusnya membantu negara dalam mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan juga sentiasa bersiap-siaga dalam segala aspek dalam menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar terutamanya penguatkuasaan kawalan sempadan darat, laut dan udara. – Malaysiapost
