PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul undi percaya perlu disegerakan untuk mengelak tragedi ‘katak melompat’ berulang.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, usul undi percaya itu perlu dipercapatkan sebelum ada lagi yang terperangkap, terpedaya atau terpesona sehingga sanggup menjadi ‘katak’.
“Dalam tempoh beberapa minggu ini rakyat akan melihat sama ada tragedi ‘katak melompat’ berulang.
“Iaitu tragedi hitam yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengingatkan Ahli Parlimen yang berkeinginan untuk menjadi ‘katak’ supaya lebih berhati-hati kerana rakyat ketika ini sedang memerhati.
“Kena tahu sifat ‘katak” bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri. Sebab itu kita minta usul undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat disegerakan.
“Namun ingat rakyat sedang menilai jika ada wakil rakyat yang menjadi ‘katak’ seterusnya. Rakyat tahu apa perlu dilakukan ke atas ‘katak-katak’ ini apabila tiba masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya. – Malaysiapost

