KRISIS perlembagaan ketika ini jelas membuktikan bahawa semua parti komponen di dalam Perikatan Nasional layak digelar sebagai kluster derhaka.
Demikian kata Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor membalas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Khairil Nizam Khirudin yang mengeluarkan label Kluster Mahkamah dikaitkan dengan segelintir pemimpin Umno.
“Pemuda Umno Kelantan memandang serius pernyataan ‘nakal’ pendirian Ketua Pemuda PN itu yang berdiri teguh untuk terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional.
“Bagaimanapun, Ketua Pemuda PN terlalu angkuh dan perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan yang dangkal dan jijik kepada “rakan Muafakat Nasional”,” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, penarikan sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat Umno kerana tidak mahu bersekongkol dengan penderhaka yang telah beberapa kali mempermainkan titah Yang Di-Pertuan Agong.
“Jadi, ingin kami tegaskan, tidak timbul langsung soal sabotaj gerak kerja kerajaan kerana semua rakyat telah sedia maklum Perdana Menteri gagal mengemudi dan menguruskan negara sepanjang darurat,” katanya.-Malaysiapost
Artikel berkaitan

