TAN Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang yang berprinsip dan tidak akan sekali-kali menggadai prinsip beliau untuk kepentingan diri.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu, Senator Dr Mohd Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
“Inilah Muhyiddin yang saya kenal. Seorang yang berprinsip dan tidak akan sekali-kali menggadai prinsip beliau untuk kepentingan diri.
“Tumpuan kerajaan adalah untuk terus berusaha gigih dan berikhtiar membawa Malaysia keluar daripada kemelut Covid-19.
“Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk negara tercinta,” katanya.
Muhyiddin dalam pengumuman khasnya hari ini memaklumkan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, suatu usul undi percaya kepada dirinya sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.
Menurutnya, kemelut politik yang melanda negara sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan ketegasan beliau tidak melayan beberapa tuntutan termasuk mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah. – Malaysiapost

