KETUA Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dipercayai mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi ini.
Difahamkan ia susulan perkembangan semasa politik negara selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam memutuskan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beberapa Ahli Parlimen Umno juga menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut laporan Sinar Harian, kenderaan yang membawa Ketua Polis Negara dilihat memasuki bangunan Perdana Putra melalui Pagar A pada jam 9.15 pagi, manakala Panglima Angkatan Tentera, pula tiba sekitar jam 9.31 pagi.
Sementara itu, Istana Negara turut menjadi tumpuan media hari ini bagi membuat liputan mengenai perkembangan terkini isu politik negara.
Petugas media dilihat memenuhi kawasan di pintu satu Istana Negara sejak 7 pagi, bagi menanti sebarang kemungkinan, termasuk ketibaan pemimpin politik untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Difahamkan setakat ini, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat sudah memasuki Pintu 2 Istana Negara kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Selain itu, beberapa perjumpaan dan mesyuarat juga dilaporkan sejak malam tadi termasuk kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara dan Hotel Seri Pacific membabitkan beberapa Ahli Parlimen.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Menteri dan Timbalan Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen Umno di pejabatnya, hari ini. – Malaysiapost

