FELO Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri meninggal dunia pagi tadi di rumahnya di Changlun, Kedah.
Berita sedih itu disahkan adik beliau Ayem Achmad menerusi Facebook yang difahamkan akibat sesak nafas.
“Abang saya Achmad Dzariean Mohd Nadzri telah kembali ke rahmattullah pada pagi ini di kediaman beliau di Changlun, Kedah.
“Urusan pengebumian akan dimaklumkan nanti. Mohon sedekahkan al-fatihah moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.
Jenazah Dr Achmad akan dikebumikan di kampungnya di Parit, Perak malam ini.
“Arwah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Jitra, petang ini. Alhamdulillah doktor sahkan beliau negatif jangkitan Covid. Jenazah akan dikebumikan di kampung beliau, Parit, Perak. Insyallah malam ini tiba di sana,” kata seorang rakan setugas arwah ketika dihubungi Malaysiapost.
Menurutnya, Dr Achmad, 41, anak jati Perak itu menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di hadapan anak-anak.
“Beliau tidak sihat sejak dua hari ni, isteri beliau difahamkan tiada di rumah kerana bekerja, beliau mengalami sesak nafas sebelum meninggal di hadapan anak-anak di rumah.
“Doakan yang baik-baik untuknya. Semoga urusan ini dipermudahkan Allah. Segala urusan pengebumian arwah diuruskan oleh pihak UUM,” katanya.
Achmad yang sering memberikan pandangan mengenai situasi politik negara, meninggalkan seorang balu dan lima anak. – Malaysiapost

