PELAWAK dan pelakon Tauke menafikan dakwaan yang mengaitkan namanya sebagai individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia membabitkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks.
Tauke atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 45, memberitahu, kini berada di kediamannya di Bukit Jalil, Selangor.
Katanya, dia tidak akan mengambil pusing dengan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan tangkapan tersebut dan berharap namanya boleh dibersihkan.
“Saya harap media dapat membantu membersihkan semula nama saya,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memaklumkan, seorang pelawak lelaki terkenal berusia 40-an ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ahad lalu kerana dipercayai terbabit kes pemerdagangan manusia membabitkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks.
Menurut beliau, lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan Ops Pintas pada jam 10 pagi hasil maklumat dan risikan.
Sehubungan itu, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks. – Malaysiapost

