“TIADA tukar jawatan, tiada tukar portfolio, beliau kekal sebagai menteri”
Demikian kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali ketika ditanya media adakah Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan meletak jawatan selepas didesak berulang kali oleh Ahli Parlimen pembangkang.
Mohd Khairuddin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu tidak akan berbuat demikian di sebalik isu berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai lalu.
“Takiyuddin tidak letak jawatan. Ini keputusan (pembatalan Ordinan Darurat) kolektif daripada Kabinet, bukan tindakan seorang menteri sahaja.
“Tiada tukar jawatan, tiada tukar portfolio, beliau kekal sebagai menteri dan kita buat apa yang patut buat untuk rakyat dan negara,” kata Mohd Khairuddin hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau yang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di Banting, hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS didakwa menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Tindakan itu didakwa berkaitan kenyataan dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap pengumuman pembatalan Ordinan Darurat oleh Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu, sedangkan Seri Paduka Baginda belum memperkenankannya. – Malaysiapost

