SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran peletakan jawatan menteri melibatkan pemimpin parti itu akan terus berlaku dalam tempoh 48 jam.
Menurutnya, ia telah dimulakan oleh bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai jemaah menteri Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Perkembangan tersebut katanya, susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“(Peletakan jawatan) menteri Umno ini telah dimulakan oleh Dr Shamsul Anuar, kita menunggu apakah yang akan berlaku pada hari-hari berikutnya.
“Setakat ini kita menunggu dalam sejam dua, (atau) sehari ke dua hari lagi,” katanya memetik Sinar Harian.
Sebentar tadi Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil menerusi hantaran di Facebooknya memuat naik senarai nama 12 Ahli Parlimen Umno yang dilaporkan menyokong penuh keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Ia selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

